INDONESIA. Malaysia menyifatkan Korea Utara sedang melakukan sesuatu yang memburukkan lagi keadaan apabila menjadikan rakyat Malaysia di negara itu sebagai tebusan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata tindakan kerajaan Korea Utara itu tidak boleh diterima sama sekali dan ia melanggar prinsip undang-undang di peringkat antarabangsa.
Sambil menyifatkan hubungan kedua-dua negara kini tegang, beliau berkata tindakan provokasi Korea Utara itu semakin memburukkan keadaan kerana melanggar undang-undang antarabangsa.
Najib berkata Malaysia akan lakukan apa sahaja yang termampu untuk memastikan rakyat Malaysia yang berada di negara itu selamat dan Majlis Keselamatan Negara akan mengadakan mesyuarat tergempar petang ini bagi mengambil langkah sewajarnya.
Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini, Ketua Polis Negara diarah supaya menghalang semua rakyat Korea Utara yang berada di Malaysia, termasuk orang awam daripada keluar dari negara ini sehingga rakyat Malaysia di negara itu dibebaskan. - Bernama
Najib berkata apa yang dilakukan oleh Malaysia hanyalah menjalankan tanggungjawab untuk menyiasat satu kes jenayah yang berlaku dalam negara membabitkan rakyat Korea Utara.
"Kita tidak mengambil sebarang tindakan negatif terhadap Korea Utara, isu atau perkara ini yang kita sedang hadapi ini timbul oleh kerana perbuatan pembunuhan rakyat mereka di Malaysia, di negara kita di bumi Malaysia, tambah lagi menggunakan senjata kimia yang dilarang penggunaannya.
"Dan apabila sesuatu jenayah berlaku di Malaysia, kita bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan sepenuhnya untuk menentukan apa sebenarnya berlaku dan sesiapa yang bertanggungjawab perlulah dibawa ke muka pengadilan, itu prinsip undang-undang yang kita terima dan guna pakai selama ini," katanya.
Mengenai kemungkinan Korea Utara mahu supaya hubungan diplomatik dengan Malaysia diputuskan, perdana menteri berkata Malaysia tidak tahu apakah yang berada dalam fikiran pemimpin negara itu tetapi yang penting sekali ialah negara mesti menghormati prinsip undang-undang.
Katanya keutamaan sekarang ialah menjamin keselamatan rakyat Malaysia dan negara masih memerlukan saluran komunikasi dengan kerajaan Korea Utara.
"Mereka tidak boleh mengambil tindakan sewenang-wenangnya, sesuka hati mereka bertentangan dengan prinsip undang-undang antarabangsa menjadikan rakyat Malaysia sebagai orang tebusan, tidak boleh diterima sama sekali oleh Malaysia dan oleh dunia sebenarnya," katanya.
Labels:
comment closed